Monday, November 14, 2011

Perutusan Terakhir Pengerusi BISA 2011




Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum w.b.r dan Salam Sejahtera
Alhamdulillahirabbil a’lamin..
*Terima kasih saudari pengacara majlis,
• Yang Berbahagia, Pn Hjh Noor Hayatee binti Md Noor, Pengarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Perenpuan Melayu, Melaka.
• Yang Berusaha Pn Hjh Maimun bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu.
• Yang Berusaha Dr Hj Mihat bin Dolah, Ketua Jabatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar
• Yang Berusaha Ust Mohd Rizuan bin Hj Abd Rasip Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.
• Yang Berusaha Ust Mohd Nasri bin Abdullah, Ketua Unit Pembangunan Insaniah Jabatan Hal Ehwal Pelajar,
• Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Para pensyarah, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Ahli Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah 2011, serta bakal Ahli Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah 2012, Jawatankuasa kerja Majlis Pembubaran dan Pelantikan Jawatankuasa BISA atau ringkasnya MPPJB, seterusnya paling tidak dilupakan rakan-rakan guru pelatih yang dikasihi Allah s.w.t sekalian.

Alhamdulillah, wa syukurillah 

Setinggi-tinggi kesyukuran dan nikmat dirafakkan ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya yang mengizinkan dan memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama memeriahkan majlis berbahagia kita pada malam ini. 

 Kesudian semua tetamu jemputan dalam melapangkan masa untuk hadir pada malam ini sudah pasti menguntum bahagia, menambah seri, memahat memori tersendiri dalam memaknakan MPPJB pada tahun ini.

Hadirin sekalian, 

   Detik masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Dalam tak sedar, sudah setahun lamanya saya memegang taklifan sebagai Pengerusi Jawatankuasa BISA 2011. Rasanya seperti baru semalam saya menerima taklifan ini. Warna warni, suka duka, pahit manis yang saya rasai sepanjang memegang taklifan ini akan menjanjikan satu pengalaman yang sangat berharga kepada saya. Sesungguhnya saya dan sahabat-sahabat Jawatankuasa BISA 2011 telah berusaha untuk menunaikan segala amanah ini kerana kami juga ingin melihat kampus mua’llimah tercinta ini, berkembang menuju ke tahap yang lebih tinggi untuk merealisasikan visi dan misi institut pendidikan guru. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada pihak BADAR, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral serta Unit Pembangunan Insaniah yang merupakan organisasi peringkat pensyarah yang benyak memberikan bantuan dari segi nasihat dan bimbingan kepada kami. Paling tidak dilupakan kepada seluruh jawatankuasa BISA 2011 yang sudi berganding bahu dan berpimpin tangan bersama saya dalam melaksanakan serta merealisasikan segala tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Serta guru-guru pelatih yang telah memberikan komitmen yang terbaik dengan mengikuti segala program-program kerohanian di Balai Islam Saidatina Aisyah. Sesungguhnya, bukan kuantiti semata-mata yang saya harapkan, tetapi kuantiti itulah yang lebih penting dan lebih dipandang di sisi Allah s.w.t.


    Kepada bakal penerus kepimpinan dan perjuangan menegakkan Islam di kampus IPGK PM yang tercinta ini, serta buat sekalian yang hadir, saya ingin menitipkan beberapa perkongsian buat renungan kita bersama.
“Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi. 
Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi. 
Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas dari sainganmu… untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai…” 
[terjemahan bebas oleh saifulislam.com daripada buku tulisan Sheikh Mohammad al-Maktoum]

*Sheikh Mohamad al-Maktoum merupakan seorang pemerintah Dubai. 

Sebuah ceritera ringkas yang dalam maknanya. Subhanallah... Benarlah, Allah tidak akan pernah sesekali membiarkan hamba-hambaNya. Peringatan disampaikan dalam pelbagai cara. Asal sahaja kita mencari, pasti akan ditemui.

Sebut sahaja soal kepimpinan, sudah cukup untuk menggetarkan hati. Belum lagi kalau kita berbicara tentang amanah disebalik kepimpinan yang diuji pada hamba-hambaNya. Menjadi seorang pemimpin sedangkan diri ditaraf hamba, apakah menifestasi di sebalik dua antonim ini?

Apabila seorang pemimpin benar-benar menyedari dirinya berTUHAN, dan meletakkan diri ditempat yang selayaknya sebagai hamba, maka dia benar-benar pemimpin yang sejati. Allah s.w.t merupakan pemilik segalanya yang ada dilangit dan dibumi, maka adakah pantas bagi kita untuk menjadi tuan kepada manusia yang lainnya? Adakah menjadi pemimpin membenarkan kita untuk bertindak sewenang-wenangnya dengan hamba Allah yang lain? 

Menghayati jiwa kepimpinan tidak semudah yang dilihat. Ramai yang menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Bukan mudah untuk memberikan prioriti dalam banyak sesetengah perkara bila mana dijengah amanah kepimpinan. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dilaksanakan sehinggakan beberapa perkara yang penting terlepas pandang. Kerana pemimpin itu seorang manusia maka mereka jua punya kekurangan. Seorang manusia tidak akan pernah sunyi dari melakukan kesalahan. Namun, itu bukanlah alasan yang konkrit bagi seorang pemimpin untuk menutup segala kelemahan yang ada pada diri. 

Firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 58:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada orang yang berhak"

Mahu ataupun tidak, kelak amanah ini akan dipersoal. Kemanakah arah yang perlu perjalanan yang harus dikemudi oleh pemimpin?
Hadis ini pula direkodkan oleh Muslim, yang bermaksud;

Hadirin yang budiman,
Aisyah binti Abu Bakar meriwayatkan:
Saya mendengar Rasulullah berdoa di dalam rumah saya, "Ya Allah, sesiapa yang mempunyai kuasa pemerintahan ke atas umatku, kemudian dia membuatkan umatku susah, berikanlah kesusahan kepada orang itu sendiri. Manakala bagi sesiapa yang mempunyai kuasa pemerintahan ke atas umatku dan dia mengasihi mereka, sama ada dengan kata-kata mahupun perbuatannya, maka kasihilah orang itu...."

Subhanallah, begitu dalam cinta Rasulullah terhadap kita umatnya yang tidak sempat menatap wajahnya.. Sehinggakan baginda mendoakan kebaikan terhadap pemimpin kita yang mengasihi kita.. 
Kita semua adalah pemimpin... 

Cuma bezanya antara kita adalah ke jalan mana kita memimpin diri kita...

Adakah pada jalan lurus yang diredhaiNya, Ataukah memilih simpang lain yang disangka jalan pintas tapi sebenarnya jalan yang penuh kelalaian dan kealpaan... 

Ataukah tanpa sedar kaki tersadung akar dugaan yang menepi di pinggir jalan.. Ataukah juga kita berhenti seketika untuk mencium harum bungaan yang menggoda???

Itu belum lagi kita bicarakan pada onak dan duri mehnah yang bertaburan di jalanan... 

Dan lebih dasyat lagi, tersungkur di lembah noda sehinggakan tidak ketemu jalan pulang...
Satu pesanan yang terakhir, 
Pemimpin adalah seperti orang di atas bukit. Orang yang dipimpin adalah manusia ramai di kaki bukit yang mendongak ke atas untuk hanya melihat kamu, pada buruk dan baiknya kamu.

Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan.

Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin.

Wallahu’alam.. Sama-sama kita renungkan.. Apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan apa yang kurang itu datangnya dari kelemahan saya sebagai penyampai. Hakikatnya kedua-duanya adalah daripada Allah s.w.t. Selamat Maju Jaya kepada semua Jawatankuasa BISA 2012. Semoga redha Allah mengiringin niat sahabat-sahabat semua... 

Wabillahi...



fakir illallah
(Norhasmira Salleh)

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...