Monday, November 14, 2011

MA'A NAJAH!!

SELAMAT MENDUDUKI PEPERIKSAAN BUAT SEMUA GURU PELATIH DI KAMPUS TERCINTA IPG KPM.

MAN JADDA WAJADA WAMAN ZARA'A HASADA

BI TAUFIK WANNAJAH =)


Be Islamic Survive Ad-deen

Alhamdulillah
Selesai sudah majlis MPPJB
Syukran ilallah kerana mentakdirkan perjalanan majlis seperti yang dirancangkan
Walaupun terdapat kekurangan,sejuta kemaafan di pohon.

Ucapan tahniah dan takziah buat semua barisan kepimpinan samada sesi 2011 mahupun sesi 2012.

Semoga barisan kepimpinan baru akan bersedia untuk melaksanakan taklifan yang telah diamanahkan dengan sebaiknya dalam mewujudkan biah solehah dalam kampus ini.

Be Islamic Survive Ad-Deen


Muqaddimah daripada Pengerusi BISA 2012



Selawat ke atas junjungan besar Nabi Muhammad SAW.

Assalamualaikum..

Sabda Rasulullah SAW:
“Kamu semua adalah pemimpin dan kamu semua akan bertanggungjawab terhadap apa yang kamu pimpin” (HR Umar r.a)

- Terima kasih kepada saudari pengacara majlis, yang berusaha Pengarah IPG Kampus Melayu Puan Hajah Noor Hayatee bt Md Nor, yang berusaha Pn. Hjh Maimun binti Abd Aziz, Timbalan Pengarah IPGK PM, yang berusaha Dr Hj Mihat bin Hj Dolah, Ketua Jabatan, Jabatan HEP IPGK PM, yang berusaha Ustaz Mohd Rizuan bin Hj Rasip, Ketua Jabatan, Jab. Pendidikan Islam dan Moral IPGK PM, Ustaz Mohd Nasri bin Abdullah Ketua Unit Pembangunan Insaniah selaku penasihat Jawatankuasa BISA, para pensyarah, saudari Siti Umairah binti Othman, YDP JPP dan seluruh ahli jawatankuasa BISA yang lama dan baharu, seterusnya rakan-rakan guru pelatih yang saya muliakan sekalian.

  Alhamdulillah, bersyukur kita ke hadrat Ilahi kerana dengan nikmat Islam dan juga nikmat Iman yang diberikan, kita masih lagi diberi kesempatan untuk berkumpul bersama-sama pada malam ini bagi menjayakan Majlis Pembubaran JK BISA 2011 dan Pelantikan JK BISA 2012. 

   Pertamanya, saya ingin merakamkan ucapan tahniah dan juga takziah kepada saf kepimpinan JK BISA yang baharu bagi sesi 2012 yang akan bersama-sama dengan saya dalam meneruskan lagi kepimpinan Jawatankuasa BISA untuk tahun hadapan.

   Sesungguhnya tugas yang telah diamanahkan kepada saya ini merupakan amanah yang berat dan perlu saya pikul dengan sebaiknya yang mana amanah yang dipikul akan ditanya oleh Allah kelak. Suka untuk saya berkongsi satu kisah yang mana pernah suatu ketika Abu Zarr al-Ghifari berkata kepada Rasulullah 
"Tidakkah anda mahu mengangkat saya menjadi pemimpin wilayah?" Maka baginda pun menepuk bahu Abu Zarr dan bersabda : ”Wahai Abu Zarr, anda lemah. Ini adalah amanah. Ia adalah sumber kehinaan dan penyesalan di hari kiamat kelak, kecuali siapa yang menerima mandat kepimpinan ini dengan betul dan menunaikan segala tuntutannya." (Riwayat Muslim)

 Menyedari besarnya amanah sebagai pemimpin, kami perlulah meletakkan pergantungan kepada Allah SWT. Semua kelancaran tugas, kejayaan dalam mencapai matlamat tidak akan berhasil kecuali dengan taufik dan pertolongan Allah Ta’ala. Dengan bersandarkan keyakinan bahawa pemilihan ini merupakan pemilihan dari Allah SWT maka saya perlu meneruskan tanggungjawab ini dan dalam meneruskan tanggungjawab yang diberikan ini, saya amat mengharapkan kerjasama dari rakan-rakan guru pelatih sekalian untuk sama-sama mengimarahkan BISA sekaligus membantu perjalanan tugasan yang akan kami teruskan bagi tahun hadapan. Insya ALLAH

   Kami, ahli Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah akan sama-sama berusaha untuk mewujudkan biah atau suasana solehah di IPG ini sebagaimana yang telah kami lafazkan dalam bai’ah sebentar tadi bersaksikan sekalian yang hadir menyaksikan majlis pada malam ini.

   Kami juga ingin memperkenalkan satu ungkapan berdasarkan akronim BISA iaitu ‘Be Islamic, Survive Ad-deen’ yang mana selaras dengan hasrat kami untuk menerapkan nilai-nilai islam disamping memupuk insan yang cinta untuk mengamalkan Islam secara total dalam kehidupan seharian kerana Islam merupakan agama yang syumul dan sesuai diamalkan sampai bila-bila. Dalam masa yang sama konsep ‘bergerak atas dasar kefahaman’ akan diimplementasikan dalam menerajui kepimpinan BISA pada tahun hadapan. InsyaAllah.

   Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah bagi sesi 2012 akan digerakkan berdasarkan visi Melahirkan bakal mu’allimah yang berintegriti melalui pelaksanaan tugasan didasari kefahaman Islam yang jelas. Manakala visi berkenaan akan cuba untuk direalisasikan melalui dua metode misi iaitu yang pertama merangka pelan tindakan pengurusan yang sistematik dan yang kedua menggalakkan penglibatan guru pelatih dalam program kerohanian BISA.

    Sudah tiba masanya BISA mengorak langkah baru dan bertenaga dalam menggerakkan usaha mewujudkan. Beberapa perubahan secara sistematik dan berperingkat akan dilakukan bagi memastikan segala apa yang dicita-citakan mampu untuk direalisasikan Saidina Ali pernah berkata: 
“Kebenaran yang tidak terancang akan dikalahkan oleh kebatilan yang tersusun rapi” dan kita tidak mahu perkara seumpama ini terjadi dalam organisasi yang berpaksikan Islam di kampus IPG Kampus Perempuan Melayu ini.

   Insya ALLAH pengalaman yang saya peroleh sepanjang berada dalam organisasi BISA selama dua tahun berturut-turut akan saya gunakan sebaiknya.

   Tidak berniat untuk berucap panjang dan cukuplah sekadar itu sahaja dari saya, yang baik itu datangnya dari Allah SWT, dan yang buruk itu datangnya dari saya juga dengan izin Allah SWT juga dan saya amat mengharapkan kerjasama daripada semua pihak dalam membantu JK BISA untuk tahun hadapan. Juga tidak lupa ucapan tahniah kepada Biro Agama & Dakwah JPP serta saf kepimpinan JK BISA 2011 yang telah merancang majlis pada malam ini dengan baik dan sama-samalah kita mengharapkan keredhaan Allah SWT terhadap setiap perkara yang kita lakukan. Wallahualam…

Sekian, terima kasih.


fakir ilallah
(Nazurah Anuar)


Perutusan Terakhir Pengerusi BISA 2011




Bismillahirahmanirahim.
Assalamualaikum w.b.r dan Salam Sejahtera
Alhamdulillahirabbil a’lamin..
*Terima kasih saudari pengacara majlis,
• Yang Berbahagia, Pn Hjh Noor Hayatee binti Md Noor, Pengarah Institut Pendidikan Guru, Kampus Perenpuan Melayu, Melaka.
• Yang Berusaha Pn Hjh Maimun bin Abd Aziz, Timbalan Pengarah IPG Kampus Perempuan Melayu.
• Yang Berusaha Dr Hj Mihat bin Dolah, Ketua Jabatan, Jabatan Hal Ehwal Pelajar
• Yang Berusaha Ust Mohd Rizuan bin Hj Abd Rasip Ketua Jabatan Pendidikan Islam dan Moral.
• Yang Berusaha Ust Mohd Nasri bin Abdullah, Ketua Unit Pembangunan Insaniah Jabatan Hal Ehwal Pelajar,
• Ketua-ketua Jabatan, Ketua-ketua Unit, Para pensyarah, Jawatankuasa Perwakilan Pelajar, Ahli Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah 2011, serta bakal Ahli Jawatankuasa Balai Islam Saidatina Aisyah 2012, Jawatankuasa kerja Majlis Pembubaran dan Pelantikan Jawatankuasa BISA atau ringkasnya MPPJB, seterusnya paling tidak dilupakan rakan-rakan guru pelatih yang dikasihi Allah s.w.t sekalian.

Alhamdulillah, wa syukurillah 

Setinggi-tinggi kesyukuran dan nikmat dirafakkan ke hadrat Ilahi, kerana dengan limpah kurnia dan inayah-Nya yang mengizinkan dan memberi kekuatan kepada kita untuk sama-sama memeriahkan majlis berbahagia kita pada malam ini. 

 Kesudian semua tetamu jemputan dalam melapangkan masa untuk hadir pada malam ini sudah pasti menguntum bahagia, menambah seri, memahat memori tersendiri dalam memaknakan MPPJB pada tahun ini.

Hadirin sekalian, 

   Detik masa berlalu dengan begitu pantas sekali. Dalam tak sedar, sudah setahun lamanya saya memegang taklifan sebagai Pengerusi Jawatankuasa BISA 2011. Rasanya seperti baru semalam saya menerima taklifan ini. Warna warni, suka duka, pahit manis yang saya rasai sepanjang memegang taklifan ini akan menjanjikan satu pengalaman yang sangat berharga kepada saya. Sesungguhnya saya dan sahabat-sahabat Jawatankuasa BISA 2011 telah berusaha untuk menunaikan segala amanah ini kerana kami juga ingin melihat kampus mua’llimah tercinta ini, berkembang menuju ke tahap yang lebih tinggi untuk merealisasikan visi dan misi institut pendidikan guru. Dikesempatan ini, saya ingin mengucapkan ribuan terima kasih kepada pihak pentadbiran yang telah memberikan kepercayaan kepada kami untuk memikul amanah dan tanggungjawab ini. Terima kasih juga kepada pihak BADAR, Jabatan Pendidikan Islam dan Moral serta Unit Pembangunan Insaniah yang merupakan organisasi peringkat pensyarah yang benyak memberikan bantuan dari segi nasihat dan bimbingan kepada kami. Paling tidak dilupakan kepada seluruh jawatankuasa BISA 2011 yang sudi berganding bahu dan berpimpin tangan bersama saya dalam melaksanakan serta merealisasikan segala tugas dan amanah yang telah dipertanggungjawabkan. Serta guru-guru pelatih yang telah memberikan komitmen yang terbaik dengan mengikuti segala program-program kerohanian di Balai Islam Saidatina Aisyah. Sesungguhnya, bukan kuantiti semata-mata yang saya harapkan, tetapi kuantiti itulah yang lebih penting dan lebih dipandang di sisi Allah s.w.t.


    Kepada bakal penerus kepimpinan dan perjuangan menegakkan Islam di kampus IPGK PM yang tercinta ini, serta buat sekalian yang hadir, saya ingin menitipkan beberapa perkongsian buat renungan kita bersama.
“Setiap pagi, si rusa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan dibaham singa jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi. 
Setiap pagi juga, si singa akan bangun segera lalu terus berlari dan berlari. Dia harus terus berlari kerana dia tahu alpanya dia akan mengundang bencana. Dia akan kehilangan rusa dan mati kelaparan, jika lengah dan tidak peduli kepada datangnya pagi. 
Sama ada kamu rusa atau singa, itu tidak penting. Apa yang utama ialah kamu harus segera berlari dan terus berlari lebih pantas dari sainganmu… untuk mencipta kejayaan. Itulah falsafah saya, dalam membangunkan Dubai…” 
[terjemahan bebas oleh saifulislam.com daripada buku tulisan Sheikh Mohammad al-Maktoum]

*Sheikh Mohamad al-Maktoum merupakan seorang pemerintah Dubai. 

Sebuah ceritera ringkas yang dalam maknanya. Subhanallah... Benarlah, Allah tidak akan pernah sesekali membiarkan hamba-hambaNya. Peringatan disampaikan dalam pelbagai cara. Asal sahaja kita mencari, pasti akan ditemui.

Sebut sahaja soal kepimpinan, sudah cukup untuk menggetarkan hati. Belum lagi kalau kita berbicara tentang amanah disebalik kepimpinan yang diuji pada hamba-hambaNya. Menjadi seorang pemimpin sedangkan diri ditaraf hamba, apakah menifestasi di sebalik dua antonim ini?

Apabila seorang pemimpin benar-benar menyedari dirinya berTUHAN, dan meletakkan diri ditempat yang selayaknya sebagai hamba, maka dia benar-benar pemimpin yang sejati. Allah s.w.t merupakan pemilik segalanya yang ada dilangit dan dibumi, maka adakah pantas bagi kita untuk menjadi tuan kepada manusia yang lainnya? Adakah menjadi pemimpin membenarkan kita untuk bertindak sewenang-wenangnya dengan hamba Allah yang lain? 

Menghayati jiwa kepimpinan tidak semudah yang dilihat. Ramai yang menjadi ketua, tetapi tidak ramai yang mampu menjadi pemimpin. Bukan mudah untuk memberikan prioriti dalam banyak sesetengah perkara bila mana dijengah amanah kepimpinan. Banyak perkara yang perlu difikirkan dan dilaksanakan sehinggakan beberapa perkara yang penting terlepas pandang. Kerana pemimpin itu seorang manusia maka mereka jua punya kekurangan. Seorang manusia tidak akan pernah sunyi dari melakukan kesalahan. Namun, itu bukanlah alasan yang konkrit bagi seorang pemimpin untuk menutup segala kelemahan yang ada pada diri. 

Firman Allah dalam surah an-Nisa’, ayat 58:
"Sesungguhnya Allah menyuruh kamu menunaikan segala amanah kepada orang yang berhak"

Mahu ataupun tidak, kelak amanah ini akan dipersoal. Kemanakah arah yang perlu perjalanan yang harus dikemudi oleh pemimpin?
Hadis ini pula direkodkan oleh Muslim, yang bermaksud;

Hadirin yang budiman,
Aisyah binti Abu Bakar meriwayatkan:
Saya mendengar Rasulullah berdoa di dalam rumah saya, "Ya Allah, sesiapa yang mempunyai kuasa pemerintahan ke atas umatku, kemudian dia membuatkan umatku susah, berikanlah kesusahan kepada orang itu sendiri. Manakala bagi sesiapa yang mempunyai kuasa pemerintahan ke atas umatku dan dia mengasihi mereka, sama ada dengan kata-kata mahupun perbuatannya, maka kasihilah orang itu...."

Subhanallah, begitu dalam cinta Rasulullah terhadap kita umatnya yang tidak sempat menatap wajahnya.. Sehinggakan baginda mendoakan kebaikan terhadap pemimpin kita yang mengasihi kita.. 
Kita semua adalah pemimpin... 

Cuma bezanya antara kita adalah ke jalan mana kita memimpin diri kita...

Adakah pada jalan lurus yang diredhaiNya, Ataukah memilih simpang lain yang disangka jalan pintas tapi sebenarnya jalan yang penuh kelalaian dan kealpaan... 

Ataukah tanpa sedar kaki tersadung akar dugaan yang menepi di pinggir jalan.. Ataukah juga kita berhenti seketika untuk mencium harum bungaan yang menggoda???

Itu belum lagi kita bicarakan pada onak dan duri mehnah yang bertaburan di jalanan... 

Dan lebih dasyat lagi, tersungkur di lembah noda sehinggakan tidak ketemu jalan pulang...
Satu pesanan yang terakhir, 
Pemimpin adalah seperti orang di atas bukit. Orang yang dipimpin adalah manusia ramai di kaki bukit yang mendongak ke atas untuk hanya melihat kamu, pada buruk dan baiknya kamu.

Menjadi pemimpin, dan menjadi golongan yang dipimpin tidak sama. Golongan yang dipimpin seperti manusia di kaki bukit. Mendongak ke atas dan melihat pemimpinnya di puncak bukit. Serba-serbi tentang pemimpin itu diperhatikannya. Ada pujian, tetapi yang sering adalah kritikan dan celaan.

Sedangkan pemimpin yang berdiri di puncak bukit, beliau melihat ke bawah dengan pandangan yang luas. Kritikan dari orang yang mengkritiknya, hanyalah salah satu daripada keseluruhan pandangan luasnya terhadap realiti golongan yang dipimpin.

Wallahu’alam.. Sama-sama kita renungkan.. Apa yang baik itu datangnya daripada Allah dan apa yang kurang itu datangnya dari kelemahan saya sebagai penyampai. Hakikatnya kedua-duanya adalah daripada Allah s.w.t. Selamat Maju Jaya kepada semua Jawatankuasa BISA 2012. Semoga redha Allah mengiringin niat sahabat-sahabat semua... 

Wabillahi...



fakir illallah
(Norhasmira Salleh)

Wednesday, November 2, 2011

MPPJB 2010/2011-2011/2012

MAJLIS PEMBUBARAN PELANTIKAN JAWATANKUASA BISA 2010/2011-2012

TEMPAT : BISA IPG KPM
TARIKH : 3 NOVEMBER 2011

' BE ISLAMIC SURVIVE AD-DEEN'



LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...