Tuesday, January 27, 2009

fadhilat bulan Safar

BULAN Safar adalah bulan kedua mengikut perkiraan kalendar Islam yang berdasarkan tahun Qamariah (perkiraan bulan mengelilingi bumi). Safar ertinya kosong. Dinamakan Safar kerana dalam bulan ini orang-orang Arab sering meninggalkan rumah mereka menjadi kosong kerana melakukan serangan dan menuntut pembalasan ke atas musuh-musuh mereka. Antara peristiwa-peristiwa penting yang berlaku dalam sejarah Islam pada bulan ini ialah: 

  • Peperangan Al-Abwa pada tahun kedua Hijrah, 
  • Peperangan Zi-Amin, tahun ketiga Hijrah, dan 
  • Peperangan Ar-Raji (Bi'ru Ma'unah) pada tahun keempat Hijrah.

Di dalam bulan ini juga ada di kalangan umat Islam mengambil kesempatan melakukan perkara-perkara bidaah dan khurafat yang bertentangan dengan syariat Islam. Ini kerana menurut kepercayaan turun-temurun sesetengah orang Islam yang jahil, bulan Safar ini merupakan bulan turunnya bala bencana dan mala- petaka khususnya pada hari Rabu minggu terakhir. Oleh sebab itu setiap tahun mereka akan melakukan amalan-amalan karut sebagai cara untuk menolak bala yang dipercayai mereka itu.

Selain daripada amalan tersebut, kebanyakan umat Islam pada masa ini, khususnya orang-orang tua di negara ini tidak mahu mengadakan majlis perkahwinan dalam bulan Safar kerana mereka berpendapat dan mempercayai bahawa kedua-dua pengantin nanti tidak akan mendapat zuriat. Amalan dan kepercayaan seperti itu jelas bercanggah dengan syariat Islam serta boleh menyebabkan rosaknya akidah.

Sebenarnya nahas atau bala bencana itu tidaklah berlaku hanya pada bulan Safar sahaja. Kepercayaan karut itu telah ditolak dan dilarang dengan kerasnya oleh agama Islam sebagaimana firman Allah s.w.t dalam Surah At-Taubah ayat 51, yang bermaksud:

"Katakanlah (wahai Muhammad), tidak sekali-kali akan menimpa kami sesuatu pun melainkan apa yang telah ditetapkan Allah bagi kami. Dialah pelindung yang menyelamatkan kami dan (dengan kepercayaan itu) maka kepada Allah jualah hendaknya orang-orang yang beriman bertawakal.''

Mengamalkan perkara-perkara khurafat atau kepercayaan karut adalah nyata ditegah oleh syarak di samping ketiadaan manfaatnya ia boleh merosakkan akidah seseorang dan ia juga menambahkan amalan-amalan bidaah yang buruk. Oleh yang demikian, umat Islam hendaklah melemparkan sangkaan atau kepercayaan karut tersebut supaya kita terlepas daripada amalan-amalan yang boleh membawa kepada syirik.

Amalan-amalan sunat di bulan Safar adalah sama seperti amalan-amalan sunat di bulan-bulan lain. Tiada amalan-amalan istimewa yang khas untuk bulan Safar yang menjadi amalan Rasulullah saw ataupun para sahabat mahupun salafus-soleh. Kita dianjurkan untuk meningkatkan amalan-amalan baik dari hari ke hari tanpa mengira apa jua bulan dalam taqwim. Tingkatkan mutu amalan-amalan fardhu dan tambah amalan-amalan sunat pada setiap masa seperti yang disarankan oleh Islam tidak kira di dalam bulan mana sekalipun. Yang penting adalah niat yang disertakan keikhlasan.

Sumber: 

Monday, January 26, 2009

Solat Sunat Gerhana Matahari


Gerhana matahari berlaku apabila kedudukan bulan terletak di antara bumi dan matahari oleh itu menutup cahaya matahari. Walaupun bulan lebih kecil, bayangan bulan mampu melindungi cahaya matahari sepenuhnya kerana bulan dengan purata jarak 384,400 kilometer adalah lebih dekat kepada bumi berbanding matahari yang mempunyai jarak purata 149,680,000 kilometer.

Solat Sunat Gerhana atau juga dikenali sebagai solat sunat Kusuf atau Solat Khusuf merupakan solat yang didirikan sewaktu terjadi gerhana bulan atau matahariKusuf dari segi bahasa bermaksud terlindungnya cahaya matahari sama ada terlindungnya itu dalam bentuk juzu'nya atau keseluruhannya. Khusuf pula mutlak digunakan untuk lindungan cahaya bulan secara juzu' atau pun keseluruhannya. Ramai ulama' yang menyatakan bahawa kedua-dua kalimah itu boleh digunakan untuk kedua-duanya sekali sama ada gerhana bulan atau pun matahari.

Bagi mereka yang beragama Islam, mereka digalakkan untuk melakukan Solat Sunat Gerhana ketika berlakunya gerhana. Pada 26 Januari 2009 (Isnin) berlaku lagi kekuasaan Allah pada alam ini iaitu fenomena Gerhana Matahari. Waktu berlaku pada waktu 16:20 waktu Malaysia dan berakhir dijangka 19:00. Adalah sebaik-baiknya memulakan solat gerhana matahari berjemaah di surau atau masjid di tempat anda kerana dapat mendengar khutbah yang bakal dibacakan oleh khatib. Hukum khutbah dan solat gerhana adalah sunat muakad (yang dituntut), jadi meninggalkannya hukumnya makruh (dibenci) tanpa uzur syari'e.

Sumber:

Thursday, January 22, 2009

Sekitar Malam Freedom for Palestin


Alhamdulillah, program Malam Freedom for Palestin telah berlangsung dengan lancar pada minggu lalu. Jutaan terima kasih diucapkan kepada semua guru pelatih kerana telah memberi sokongan terhadap penganjuran program ini. Sememangnya sebagai saudara seIslam, kita perlu menyalurkan apa sahaja bentuk bantuan atau sumbangan yang mampu kita berikan kepada mereka. Moga-moga kita akn terus hidup aman dan sejahtera di bumi Malaysia serta dijauhi daripada sebarang malapetaka di samping mendapat keredhaan Allah s.w.t.

Sebagaimana firman Allah dalam Sura Al-Isra', mafhumnya:

Dan Kami menyatakan kepada Bani Israil dalam Kitab itu: "Sesungguhnya kamu akan melakukan kerosakan di bumi (Palestin) dua kali, dan sesungguhnya kamu akan berlaku sombong angkuh dengan melampau. Maka apabila sampai masa janji (membalas kederhakaan kamu) kali yang pertama dari dua (kederhakaan) itu, Kami datangkan kepada kamu hamba-hamba Kami yang kuat gagah dan amat ganas serangannya lalu mereka menjelajah di segala ceruk rantau (membunuh dan membinasakan kamu); dan (sebenarnya peristiwa itu) adalah satu janji yang tetap berlaku. Kemudian (setelah kamu bertaubat), Kami kembalikan kepada kamu kekuasaan untuk mengalahkan mereka, dan Kami beri kepada kamu dengan banyaknya harta kekayaan dan anak pinak, serta Kami jadikan kamu kaum yang lebih ramai pasukannya. Jika kamu berbuat kebaikan, (maka faedah) kebaikan yang kamu lakukan adalah untuk diri kamu; dan jika kamu berbuat kejahatan, maka (kesannya yang buruk) berbalik kepada diri kamu juga. Oleh itu, apabila sampai masa janji (membalas perbuatan derhaka kamu) kali kedua, (Kami datangkan musuh-musuh kamu) untuk memuramkan muka kamu (dengan penghinaan dan keganasannya); dan untuk memasuki masjid (BaitulMaqdis) sebagaimana mereka telah memasukinya pada kali yang pertama; dan untuk menghancurkan apa sahaja yang mereka telah kuasai, dengan sehancur-hancurnya. (Surah Isra’ : 4-7)

Maka, marilah kita bersama-sama berusaha menegakkan kalimah suci Allah di atas muka bumi ini. Hancur Israel, Selamatkan Palestin.

Thursday, January 15, 2009

Program Malam Freedom for Palestin



Tarikh : 16 Januari 2009 (Juamaat)
Tempat : Balai Islam Sayidatina Aisyah (BISA)
Masa : 9.15 - 11.00 malam
Tema : Hancur Israel, Selamatkan Palestin
Penyertaan : semua guru pelatih IPGM Kampus Perempuan Melayu
Anjuran : Biro Agama dan Dakwah dengan kerjasama Jawatankuasa BISA

Objektif program :
  1. Menanam kesedaran terhadap isu kekejaman Israel terhadap umat islam.
  2. Mendedahkan kepada guru pelatih tentang isu global yang berlaku di Palestin.
  3. Meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kepada Allah dalam memperjuangkan Islam.
  4. Mengukuhkan ukhwah di kalangan guru pelatih.
Aturcara Program :
  • Gimik
  • Pelancaran tabung Palestin
  • Tayangan video Palestin
  • Rintihan dari Palestin
  • Kata-kata semangat
  • Bacaan Qunut Nazilah & Doa Wihdah
  • Tandatangan "hancur Israel, selamatkan Palestin"
  • Pameran Palestin

Wednesday, January 7, 2009

Program Sambutan Maal Hijrah 2009

Sukacita dimaklumkan, satu program akan diadakan pada hari Jumaat ini, 9 Januari 2009 dan bertempat di Dewan Seri Kandi. Butiran lanjut adalah seperti berikut:

Aturcara program

7.30   Para guru pelatih mengambil tempat
8.00    Para pensyarah & staff sokongan mengambil tempat
8.15 Ketibaan para penceramah undangan
8.25 Ketibaan Pengarah
8.30  Majlis dimulakan
        Bacaan Al-Quran beserta terjemahan
       Ucapan alu-aluan ketua JAPIM
      Ucapan Pengarah
9.00  Forum: 
         Kuasa Hijrah Pemangkin Perubahan Ummah
      Ahli panel terdiri daripada:
     1) Ustaz Mohd. Abdul Rahim bin Abdul Rahman
            (penolong pengarah BBT, KPM, Putrajaya)
     2) Ustazah Pauziah binti Hj. Omar
            (pensyarah JAPIM, IPTHO)
     3) Kapten Muhd. Azizan bin Mohamed
            (pegawai agama, Kem Sungai Udang, Melaka)
10.30 Jamuan Ringan
      Bersurai

Semua guru pelatih diwajibkan hadir bagi mendengar serta menghayati topik menarik yang akan dibincangkan. 

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...