Tuesday, March 3, 2009

Fadhilat Bulan Rabi'ul Awal

Bulan ketiga dalam kalendar Hijrah ini membawa satu peristiwa besar yang menjadi ingatan kepada seluruh umat manusia. Nabi junjungan kita Nabi Muhammad S.A.W. telah diputerakan pada bulan ini iaitu pada 12 Rabiulawal, yang pada tahun ini jatuh pada 21hb April, 2005. Berbagai acara sambutan diadakan bagi memuliakan hari keputeraan junjungan kita ini.

Membesarkan Maulidur Rasul

SETIAP tahun pada 12 Rabiulawal, umat Islam di seluruh dunia terutama di negara kita akan mengadakan majlis memperingati keputeraan Nabi Muhammad S.A.W. atau dikenali Maulidur Rasul dengan mengadakan beberapa acara seperti perarakan, ceramah dan sebagainya. Baginda merupakan nabi terakhir yang diutus oleh Allah S.W.T setelah nabi-nabi yang terdahulu. Hari keputeraan Rasulullah S.A.W. ini patut dibesarkan untuk memuliakan Baginda dan sebagai tanda kecintaan kita kepada Rasulullah S.A.W.

Banyak kelebihan dan keistimewaan yang akan dikurniakan oleh Allah S.W.T. kepada mereka yang dapat mengadakan atau menghadiri majlis Maulidur Rasul. Kita dapat lihat betapa besarnya kelebihan orang yang memuliakan majlis keputeraan Nabi Muhammad S.A.W., kerana bila berniat sahaja hendak mengadakan Maulud Nabi, sudah pun dikira mendapat pahala dan dimuliakan. Sememangnya bernazar untuk melakukan sesuatu yang baik merupakan doa dan dikira amal soleh.

Jelas kepada kita bahawa pembalasan Allah S.W.T. terhadap kebaikan begitu cepat sehinggakan terdetik sahaja di hati hendak berbuat kebaikan, sudah Allah S.W.T. akan memberi pembalasan yang tiada ternilai. Seseorang yang beriman, kuat bersandar kepada Allah, ketika di dalam kesusahan dia tetap tenang dan hatinya hanya mengadu kepada Allah dan mengharapkan pertolongan dan kasih sayang Allah S.W.T

Rasulullah S.A.W. bersabda yang bermaksud: "Barangsiapa yang membesarkan hari keputeraanku nescaya aku akan menjadi penolongnya pada hari kiamat dan barangsiapa membelanjakan untuk majlisku seumpama ia membelanjakan emas sebanyak sebuah gunung untuk agama Allah." Sayyidina Abu Bakar As-Siddiq R.A. berkata: "Barangsiapa membesarkan Maulud Nabi S.A.W., maka sesungguhnya ia akan menjadi temanku di dalam syurga." Begitu pula As-Sirri As Saqati berkata: "Barangsiapa pergi ke tempat yang ada dibaca di situ Maulud Nabi S.A.W. sesungguhnya dia diberi satu kebun daripada kebun-kebun syurga kerana dia pergi ke tempat itu tidak lain kerana cinta kepada Rasulullah S.A.W."

Keberkatan mengadakan Majlis Maulud itu bukan sahaja didapati oleh orang yang mengadakan majlis itu, tetapi seluruh ahli rumah atau orang yang tinggal di tempat itu turut mendapat keberkatannya.

Jalalaludin As-Sayuti berkata: "Barangsiapa antara orang Islam yang dibacakan di dalam rumahnya Maulid Nabi S.A.W, nescaya Allah S.W.T akan menghilangkan dan menjauhkan kemarau dan kecelakaan, bala, penderitaan, kebencian, hasad, kejahatan dan kecurian terhadap ahli-ahli rumah itu dan apabila dia mati, Allah S.W.T akan memudahkan dia menjawab akan soalan-soalan Mungkar dan Nakir dan dia akan mendapat tempat bersama orang-orang yang benar di sisi Tuhan yang Maha Kuasa lagi Maha Besar Kerajaan-Nya."

Beliau berkata lagi: "Tiada sebuah rumah atau masjid atau tempat-tempat yang dibaca di dalamnya akan Maulid Nabi S.A.W melainkan malaikat-malaikat melindungi ahli-ahli tempat itu dan Allah S.W.T akan melimpahkan rahmat-Nya kepada mereka dan malaikat-malaikat yang berpangkat besar seperti Jibril, Mikail, Israfil mendoakan kebaikan bagi orang-orang yang menganjurkan dan menyebabkan adanya majlis Maulid Nabi S.A.W itu."

Sumber : 

1 comment:

Anonymous said...

Terima kasih atas maklumat yang ditulis tentag fadilat bulan Rabiul Awal.

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...