Thursday, February 5, 2009

Mutiara Hikmah

  • Perkataan yang baik dan pemberian maaf lebih baik daripada sedekah yang diiringi dengan perkataan yang menyakitkan (Mafhum Surah AI-Baqarah: 263).
  • Amat besar kebenciannya di sisi Allah apabila kamu memperkatakan sesuatu yang kamu tidak melakukannya. (Mafhum Surah al-Saf :3)
  • Sesungguhnya manusia itu dijadikan bertabiat resah gelisah (bakhil lagi kedekut). Apabila ia ditimpa kesusahan, ia sangat gelisah dan apabila beroleh kesenangan ia menjadi bakhil." (Mafhum Surah AI-Ma'arij :19-21).
  • Daripada Abi Hurairah RA, Rasulullah SAW bersabda : Siapakah yang akan mengambil daripadaku beberapa perkataan lalu beramal dengannya atau memberitahu siapa yang akan mengamalkannya? Jawabku : Saya, wahai Rasulullah. Lalu Rasulullah SAW memegang tanganku dan mengira lima. Sabda baginda ;"Jauhkanlah larangan-larangan nescaya engkau akan menjadi manusia yang paling beribadah; relalah dengan apa yang telah Allah SWT kurniakan kepadamu nescaya engkau akan menjadi manusia paling kaya; berbuat baiklah kepada jiran nescaya jadilah engkau orang mukmin sejati; Kasihilah orang lain sepertimana engkau mengasihi dirimu sendiri nescaya engkau menjadi sebenar-benar muslim dan janganlah engkau banyak ketawa kerana ia akan mematikan hati". (Maksud hadis)
  • Daripada Abi Hurairah RA rasulullah SAW menyatakan mukmin yang kuat adalah lebih baik dan dikasihi daripada mukmin yang lemah. Dan dalam semua kebaikan maka rebutlah perkara yang memberi faedah kepada dirimu. Dan mintalah pertolongan daripada Allah dan jangan kamu bersifat lemah. Dan apabila kamu ditimpa bencana jangan kamu mengatakan kalaulah aku berbuat begini tentu akan jadi begini. Bahkan hendaklah kamu berkata bahawa ini adalah suatu ketentuan Allah dan berlaku dengan kehendakNya. Sesungguhnya perkataan 'kalau' ini membuka pintu perbuatan syaitan." (Maksud Hadis).
  • Manusia lumrah melakukan kesalahan dan sebaik-baik orang yang melakukan kesalahan ialah mereka yang bertaubat. (Hadis riwayat Ahmad dan At-Tarmizi).
  • Siapa yang akan diberikan kebaikan (nikmat) oleh Allah diberikannya penderitaan(lebih dahulu). (Hadis riwayat Bukhari).
  • Ada empat hal yang dapat mengangkat seseorang kepada darjat yang tertinggi, walaupun amal dan ibadahnya sedikit, iaitu bersifat pemaaf, merendah diri, pemurah dan budi pekerti yang baik. Itulah kesempurnaan iman. (Abul Qasim Al-Junaid).
  • Mencari kekayaan dan kesenangan dunia tanpa dibatasi dengan keimanan dan kemuliaan akhlak akan menjejaskan ketenteraman, mencalar keadilan dan menghakis kemanusiaan. (al-Iman wa al-Hayah - Syeikh Yusuf al-Qaradhawy).
  • Jika hati tercemar dengan keburukan dunia, akibatnya terhalanglah ukhuwah yang ikhlas, lantaran hati yang tandus dan malas memikirkan kebenaran. Akhirnya hilang segala nikmat yang Allah SWT berikan, tiada rasa lazat keimanan dan yang tinggal hanyalah tekanan. Insaflah wahai saudaraku, jika kita terlanjur jalan, usah malu mohon keampunan, malah bersegeralah untuk dibimbing kembali kepangkal jalan. Semoga Allah SWT beri keampunan dan kerahmatan .(Kata-kata Hukama')
  • Kenapa ada benci pada sesuatu yang tidak sepatutnya kita membenci. Kenapa kedekut kasih sayang pada orang yang sepatutnya kita memberi? Kenapa bakhil kemaafan pada orang yang menyakiti? Kenapa tiada ukhuwwah, padahal insan lebih mulia daripada haiwan. (Kata-kata Hukama')

No comments:

LinkWithin

Related Posts Plugin for WordPress, Blogger...